18 APR: Sebanyak 6,623 kes jangkitan baharu COVID-19 dilaporkan semalam yang menunjukkan penurunan ketara berbanding 9,705 kes kelmarin.
Berdasarkan portal COVIDNOW, daripada jumlah itu, 6,610 adalah kes tempatan, manakala 13 lagi adalah kes import.
Kementerian Kesihatan (KKM) turut melaporkan sebanyak 12 kes kematian baharu akibat COVID-19, termasuk lapan daripadanya membabitkan kematian di luar hospital (BID) menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini seramai 35,421 orang.
Perlis antara negeri tertinggi yang mencatatkan purata kematian setakat ini iaitu 16 kematian, diikuti Perak (13) dan Melaka (11).
Selain itu, sejumlah 103,900 kes aktif COVID-19 direkodkan di seluruh negara manakala 11,233 kes sembuh turut dilaporkan.
Daripada jumlah tersebut, seramai 101,294 atau 97.5 peratus individu kuarantin di rumah, manakala 356 atau 0.3 peratus ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan 2,124 dimasukkan ke hospital.
Data itu juga menunjukkan sejumlah 126 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 76 memerlukan alat bantuan pernafasan, manakala 50 kes lagi memerlukan mesin ventilator.