21 APR: Malaysia memperoleh kuota haji sebanyak 14,306 tahun ini iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata Arab Saudi tahun ini menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi musim 2022 berbanding 2.5 juta pada 2019 dan kuota 45 peratus adalah terpakai untuk semua negara.
Idris berkata, kuota sebanyak 14,306 jemaah itu ialah penurunan daripada seramai 31,600 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu, pada 2019.
“Ini (kuota jemaah bagi musim haji 2022) sudah tentunya berikutan penilaian dan langkah berjaga-jaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan semua jemaah haji dari seluruh dunia.
“Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.
“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota diberikan kepada jemaah haji Malaysia,” katanya dalam secara langsung di Facebook.
Idris berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci selepas dua tahun tertangguh kerana pandemik COVID-19.
Beliau juga sudah mengarahkan TH untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia, selain memohon semua bakal jemaah membuat persediaan sewajarnya daripada segi ilmu, kesihatan, rohani, jasmani dan kewangan.
TH juga akan mengeluarkan surat tawaran dalam masa terdekat dengan bakal jemaah terpilih diminta membuat pemeriksaan kesihatan dan menjawab surat tawaran dengan kadar segera.
“Bakal jemaah juga dinasihatkan supaya bersedia dengan dokumen berkaitan, terutama pasport. Semua jemaah haji Malaysia perlu mengambil suntikan wajib Meningococcal serta vaksin COVID-19 apabila dipanggil Kementerian Kesihatan supaya proses pengambilan vaksin dapat dijalankan mengikut masa ditetapkan,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, bantuan pembayaran haji kepada bakal jemaah pada tahun ini akan diteruskan, selain pengumuman mengenai ketetapan bayaran baharu akan dibuat pengurusan TH, esok.