23 APR : Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030) hari ini menyediakan hala tuju nasional yang baharu kepada pembangunan keusahawanan sosial di Malaysia dengan lima teras strategik, 20 strategi dan 45 inisiatif dalam memastikan pencapaian objektif dan sasaran dasarnya.
Perdana Menteri berkata, SEMy2030 dibangunkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memantap dan memperkasakan perusahaan sosial bagi mendepani cabaran dan perubahan luar jangka, selain melonjakkan prestasi mereka ke tahap lebih tinggi seiring dengan keperluan dan tuntutan masyarakat serta alam sekitar.
“Kerajaan menyedari potensi dan peranan penting keusahawanan sosial dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi negara, sehubungan itu, sebuah dasar dan objektif nasional jangka panjang perlu diwujudkan.
“Justeru SEMy2030 menggariskan lima objektif yang sejajar dengan aspirasi, strategi dan inisiatif yang ditetapkan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
“Tumpuan Rangka Tindakan termasuklah membangunkan kerangka kawal selia dan tadbir urus yang efektif untuk memastikan perusahaan sosial di Malaysia mempunyai tanggungjawab dan akauntabiliti selain membina kepercayaan rakyat dan sektor swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran SEMy2030, di Kuala Lumpur hari ini.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan geran pembiayaan kepada perusahaan sosial yang keseluruhannya berjumlah RM810,935.10 yang memberi manfaat membabitkan 490 peserta.