24 APR: Empat lelaki ditahan dan pelbagai bahan kontraban, bunga api serta hidupan liar bernilai keseluruhan RM9.29 juta dirampas polis dalam tiga operasi di ibu negara dan Perak, bermula 20 April hingga Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali, berkata serbuan dijalankan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) menerusi Op Kontraban, Op Letup dan Op Bersepadu Khazanah (OBK).
Dalam serbuan pertama menerusi OBK di sebuah rumah di Setapak di sini pada 20 April lalu, polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas dua burung spesies murai batu, dianggarkan bernilai RM160,000.
“Dalam operasi itu juga, pasukan serbuan mengesan stor menyimpan 186 kotak pelbagai jenis bunga api dianggarkan bernilai RM650,000. Keseluruhan nilai rampasan burung dan bunga api RM810,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi Op Kontraban di sebuah premis perindustrian di Teluk Intan, Perak pada 21 April lalu pula, pasukan CPSK menahan dua lelaki tempatan dan merampas 13,133 karton rokok putih dan 3,300 karton rokok kretek.
“Nilai rokok dirampas dianggarkan RM6.7 juta dan kita percaya kesemua rokok itu diseludup masuk ke negara ini. Menerusi operasi itu, kita turut merampas wang tunai RM103,000, beberapa keping cek serta tiga kenderaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM6.97 juta,” katanya.
Dalam satu lagi Op Kontraban di Tambun, Perak pada Jumaat lalu, polis merampas 3,349 karton rokok kretek seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1.4 juta dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Bermula Januari hingga 22 April, CPSK Pasukan Gerakan Khas (PGK) JKDNKA melaksanakan 42 sebuan membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM50.3 juta serta menahan 60 individu.
“CPSK di ibu pejabat JKDNKA Bukit Aman adalah antara penyumbang utama keberhasilan di bawah Op Kontraban, OBK serta beberapa operasi lain,” katanya.