25 APR : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa di Putrajaya pagi ini.
Menerusi kenyataan Jabatan Perdana Menteri, Ismail Sabri tiba di kediaman Allahyarham di Precint 10, kira-kira jam 9.40 pagi tadi, dan beliau juga turut menunaikan solat jenazah.
Perdana Menteri turut meluangkan masa kira-kira 20 minit menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3, Putrajaya untuk penghormatan terakhir di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni bermula 11 pagi hingga 1 tengah hari.
“Pelawat yang akan memberikan penghormatan terakhir di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dinasihatkan untuk tiba di dewan mulai 11 pagi hingga 1 tengah hari sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya pada 1.30 tengah hari,” kata kenyataan itu.
Ali, 66, dilaporkan meninggal dunia pada 21 April lepas, ketika sedang menerima rawatan di hospital di Dublin, Ireland.Anak kelahiran Kluang, Johor itu dilantik sebagai KSN pada 19 Jun 2012 menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang tamat kontrak perkhidmatan pada 23 Jun 2012.
Jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 6.30 pagi sebelum dibawa ke kediamannya di sini.
Beliau mengakhiri perkhidmatannya dalam perkhidmatan awam pada 2018.