25 APR : Saiful Bukhari Azlan hari ini mengumumkan pengunduran beliau sebagai ahli biasa seumur hidup Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkuat kuasa hari ini.
Menerusi satu kenyataan media hari ini, Saiful berkata, BERSATU merupakan parti politik pertama yang disertainya dan keputusan untuk keluar daripada parti itu dibuat atas sebab peribadi, di mana beliau telah pun menghantar sepucuk surat kepada Setiausaha Agung BERSATU untuk memaklumkan perkara tersebut.
“Sekalung penghargaan buat parti kerana kesudian menerima saya selaku ahli awal tahun lalu dan pengalaman yang diberikan selaku Ahli Jawatankuasa Komunikasi Strategik Jabatan Penerangan BERSATU dan Ketua Unit Penyelidikan, Pemuda Perikatan Nasional.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada sahabat-sahabat di BERSATU. Walaupun tidak menjadi ahli tidak semestinya putus persahabatan. Pada hemat saya, silaturrahim harus mengatasi ideologi politik. Salam Aidilfitri, maaf zahir batin,” ujarnya.