25 APR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman tidak akan bertolak ansur dengan pegawai mahupun anggotanya yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) tatacara penggunaan media sosial.
Pengarahnya, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, terdapat tiga arahan berhubung tatacara penggunaan media sosial iaitu pada Ogos 2020, Mei 2014 dan Februari 2021.
“Mengikut tatacara penggunaan media sosial, memang tidak dibenarkan (siaran di media sosial secara langsung).
“Ada dua versi…jika penggunaan media sosial ini untuk ‘official’ (rasmi) maka tiada masalah, tetapi sekiranya untuk ‘personal’ (persendirian) tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas satu video tular di media sosial semalam mengenai seorang pegawai polis wanita yang membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok ketika serbuan dijalankan di sebuah pusat hiburan di Serdang, pada Jumaat lalu.
Ayob Khan berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dalam isu ini dan kini menunggu hasil siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
“Kita tidak akan bertolak ansur, tidak akan berkompromi dan tidak akan memilih bulu.
“Pegawai ataupun anggota yang terbabit dalam salah laku atau melanggar SOP, pasti tindakan akan diambil. Apa-apa pun, kita tunggu siasatan lengkap JIPS,” katanya.