20 JULAI: Penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Kanye West, semalam melancarkan kempennya bagi pemilihan Presiden AS pada November ini.
Pada pelancaran kempen bagi menewaskan penyandang Presiden AS, Donald Trump penyanyi terbabit menangis ketika menyampaikan ucapan yang meleret panjangBeliau yang memakai jaket kalis peluru bertanda ‘security’, alam ucapannya, antara lain mendakwa beliau mahukan isterinya, Kim Kardashian, menggugurkan kandungannya ketika hamil dengan anak pertama mereka.
West juga mendakwa pejuang hak kulit hitam dan pengharaman perhambaan, Harriet Tubman, sebenarnya ‘tidak membebaskan hamba abdi’.
“Harriet Tubman sebenarnya tidak pernah membebaskan hamba, beliau hanya minta mereka bekerja untuk orang kulit putih yang lain,” katanya.
Ketika hanya tinggal kurang empat bulan sebelum pemilihan presiden pada November ini, West, 43, membuat kejutan pada 4 Julai lalu apabila mengumumkan menerusi ciapan Twitter bahawa mahu mencabar Trump.
Beliau, yang menjadi terkenal apabila memakai topi tertera slogan ‘Make America Great Again’ ketika bertemu Trump di Rumah Putih pada 2018, tidak mengemukakan sebarang butiran mengenai kempennya.
Bagaimanapun, bintang hip-hop itu berkata beliau kini tidak lagi menyokong Trump sebagai Presiden AS.
Minggu lalu, media AS melaporkan West menarik diri daripada pemilihan presiden kerana tarikh tutup bagi pencalonan presiden sudah tamat di kebanyakan negeri, namun difahamkan nama beliau tersenarai di Oklahoma. – AFP