28 APR : Kes jangkitan COVID-19 di Malaysia memperlihatkan sedikit peningkatan apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 3,471 kes semalam berbanding 3,361 kes hari sebelumnya.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu, 3,444 kes (99.22%) adalah kategori satu dan dua, manakala 27 kes (0.78%) lagi dalam kategori tiga, empat dan lima.
Daripada 27 kes COVID-19 kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan pada 27 April 2022, 5 kes (18.52%) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 13 kes (48.15%) telah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 9 kes (33.33%) telah menerima dos penggalak.
Sementara, 13 kes (48.15%) berumur 60 tahun dan ke atas dan 14 kes (51.85%) mempunyai komorbid.
Sebanyak 98 kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan 63 pesakit memerlukan bantuan pernafasan manakala jumlah kes sembuh pula adalah sebanyak 6,900.
Dua kluster baharu juga telah direkodkan semalam, dengan 91 kluster masih aktif.
Sementara itu, nilai kadar kebolehjangkitan (R-naught atau R0) COVID-19 di seluruh negara ketika ini adalah 0.70, dengan putrajaya mencatatkan bacaan tertinggi pada 1.05.