29 APR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mengkaji kadar elaun tajaan pelajar Majlis Amanah Rakyat (MARA) di luar negara terutamanya di United Kingdom (UK) dan Ireland yang terbeban akibat kos sara hidup tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian tersebut sedang mengumpul maklumat jumlah pelajar Malaysia tajaan MARA yang berada di UK dan Ireland.
Menurutnya, KPLB sedang melaksanakan kajian bersama beberapa penaja lain seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Bank Negara Malaysia (BNM), TNB serta Petronas dan hasil kajian akan dibawa ke peringkat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.
“Kos kehidupan pelajar kita yang berada di UK dan Ireland sangat tinggi. Kita tengah membuat kajian dengan penaja lain bagi mendapat maklumat terperinci tentang kos peningkatan hidup ini.
“Baki jumlah tajaan yang tinggal (selepas membayar keperluan belajar di UK dan Ireland) digunakan pelajar itu menguruskan diri, bayar sewa rumah, pelbagai bil, makan dan pengangkutan.
“Dulu, empat pelajar boleh sewa sebuah rumah tapi sekarang mereka perlu lebih ramai dalam sebuah rumah untuk tanggung kos yang tinggi, tentunya mereka tidak selesa,” katanya pada Program Bubur Lambuk KPLB anjuran RISDA di jalan utama Pokok Sena-Kuala Nerang hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Badan Perhubungan Negara United Kingdom & Eire (BPN UKE) pada Khamis, mahu elaun sara hidup pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mara distrukturkan semula.
Perkara tersebut susulan kos sara hidup di UK dan Ireland sedang melambung tinggi dan kesannya dirasai seluruh masyarakat terutama pelajar tajaan JPA-Mara selepas elaun mereka tidak berubah sejak 2012.