Perlis benar jemaah bersalaman mulai Ahad
29 APR: Perlis membenarkan jemaah solat untuk bersalaman termasuk solat sunat Aidilfitri bermula Ahad ini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah perbuatan bersalaman dalam kalangan jemaah solat itu dibenarkan mulai 1 Mei depan.
“Namun, jemaah diminta mematuhi SOP seperti memakai pelitup dan hendaklah sentiasa mencuci atau membersihkan tangan,” titah baginda dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.
Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, selain itu semua aktiviti pengimarahan seperti kuliah, ceramah termasuk jamuan makan juga dibenarkan, malah aktiviti sosial lain seperti majlis perkahwinan, jamuan, gotong-royong, majlis berbuka puasa, iktikaf dan sebagainya turut dibenarkan, selagi ia mematuhi SOP.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, solat sunat Aidilfitri di negeri ini digalakkan untuk dibuat di tanah lapang pada jam 8 pagi seperti yang dilaksana sebelum ini, dan pemilihan tapak tanah lapang adalah tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing.
“Pelaksanaan Solat Aidilfitri di mana-mana surau dan dewan tanpa kelulusan pihak berkuasa masih tidak dibenarkan.
“Walaubagaimanapun, pihak Jawatankuasa Kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang dan bilangan jemaah yang hadir,” titah baginda.
Baginda bertitah, selaras dengan SOP berkenaan juga, jemaah termasuk kanak-kanak dibenarkan hadir untuk menunaikan solat dan menyertai aktiviti pengimarahan tanpa terikat dengan status vaksinasi.