29 APR: UMNO Selangor mahu hubungan bersama PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) dikekalkan di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, kedua-dua parti itu yang ketika ini selaku pembangkang di Selangor perlu bersatu bagi merampas semula negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH).
“Kalau berlaku pertembungan tiga penjuru amat berbahaya kerana ia hanya memenangkan PH, sebaliknya kita berharap dapat meneruskan kerjasama di antara MN dan bukan (kerjasama dengan) PN (Perikatan Nasional),” katanya hari ini.
Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, berdasarkan kajian pengundi di Selangor menunjukkan pengundi Melayu sama ramai dengan bukan Melayu.
“Ada beberapa DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen di Selangor majoriti Melayu dan kalau berpecah ia hanya memenangkan calon PH,” ujarnya.
Jelas beliau, hubungan kerjasama antara kedua-dua parti menerusi MN pada masa ini masih berjalan baik dan sering mengadakan program secara bersama.
“Saya adakan perbincangan dengan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi bahawa kita mesti terima hakikat Selangor ini berbeza daripada negeri lain.
“Selangor ini kami mengekalkan semangat pembangkang dan jika kita hendak ambil alih negeri Selangor, maka UMNO dan PAS mesti bekerjasama untuk menumbangkan PH,” katanya.