4 MEI : Draf perancangan berhubung pakej sekatan bagi menghukum Russia kerana mencerobohi Ukraine telah diserah pegawai Kesatuan Eropah (EU) semalam kepada negara anggota .
Bagaimanapun, sebilangan negara anggota EU berusaha untuk menarik diri daripada embargo minyak yang digariskan dalam pakej sekatan itu.
Draf itu hanya diterima pakai, lewat malam tadi, disebabkan pendirian salah satu negara anggota.
Duta dari 27 negara anggota EU dijadualkan bertemu, hari ini, bagi meneliti sekali lagi perancangan berkenaan yang memerlukan kelulusan sebulat suara sebelum dikuatkuasakan.
Cadangan suruhanjaya itu meliputi larangan import minyak dari Russia yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh enam hingga lapan bulan, dengan Hungary dan Slovakia dibenarkan mengambil masa beberapa bulan lebih lama.
Slovakia bagaimanapun memaklumkan bahawa pihaknya memerlukan tempoh selama beberapa tahun, berikutan negara itu sebagaimana Hungary, bergantung hampir 100 peratus pada bahan api daripada minyak mentah Russia melalui saluran paip Druzbha.
Kilang penapisan Slovakia direka khas untuk minyak daripada Russia, justeru memerlukan proses baik pulih atau penggantian menyeluruh bagi menangani import dari negara lagi, sekali gus membabitkan proses yang panjang dan mahal.
Dalam pada itu, sumber berkata, Bulgaria dan Republik Czech juga boleh mencari jalan untuk memilih keluar daripada penetapan sekatan.
Namun, seorang diplomat Eropah memberi amaran bahawa tindakan membenarkan pengecualian kepada satu atau dua negara yang mempunyai kebergantungan tinggi, akan mencetuskan kesan domino terhadap tuntutan untuk pengecualian yang boleh menjejaskan embargo itu.
Suruhanjaya Eropah tidak bercadang untuk mendedahkan draf itu kepada awam sebelum Presidennya, Ursula von der Leyen, dijadualkan berucap di Parlimen Eropah, hari ini.