20 JULAI: Warga asing yang membeli dan memiliki MyKad palsu bakal dikenakan hukuman lebih berat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Bagi tujuan tersebut, kerajaan akan memasukkan kesalahan di bawah Akta Imigresen di bawah jadual kesalahan SOSMA, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menurut beliau, pindaan kepada undang-undang keselamatan itu akan dilakukan dalam masa terdekat yang antara lain bagi mengekang pemalsuan MyKad dalam kalangan migran.
“Mengikut Jadual Pertama SOSMA, menteri mempunyai kuasa untuk meminda akta tersebut,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya hari ini.
Katanya, apabila Akta Imigresen itu dimasukkan dalam Jadual SOSMA, tindakan menurut peruntukan undang-undang itu boleh dikenakan terhadap mana-mana pendatang yang memiliki dokumen pengenalan diri Malaysia yang palsu.
Ketika ini, mana-mana warga asing yang ditangkap memiliki MyKad hanya dikenakan tindakan pengusiran.
“Mana-mana pihak yang didapati bekerjasama mengeluarkan kad pengenalan palsu akan dikenakan tindakan bawah SOSMA.
“Kepada migran, selalunya kita ambil tindakan mengikut Akta Imigresen tetapi saya sebagai menteri ingin melihat Akta Imigresen dimasukkan bawah jadual SOSMA supaya migran yang ditangkap membeli kad pengenalan palsu, dikenakan tindakan mengikut SOSMA,” katanya.
Hamzah berkata, rakyat tempatan yang terlibat dalam sindiket pemalsuan MyKad juga akan dikenakan tindakan di bawah SOSMA.
“Ini kerana mereka tidak mempunyai ‘sense of belonging’ sebagai rakyat Malaysia dan pada saya mereka melakukan pengkhianatan,” katanya
Tambahnya, setakat 17 Julai tahun ini, seramai 35 migran ditangkap dalam 37 operasi yang dijalankan JPN sejak Januari lalu.