6 MEI : Pihak berkuasa China mula membina ribuan stesen ujian reaksi rantaian polymerase (PCR) tetap dalam usaha ke arah membiasakan kawalan ketat pandemik COVID-19.
Setakat ini sebanyak 9,000 stesen ujian PCR berjaya disiapkan di Shanghai, di mana hampir 25 juta penduduknya kekal bawah perintah berkurung bagi memerangi penularan terbesar coronavirus di China.
Dalam usaha mengelakkan serangan di masa hadapan, pihak berkuasa perbandaran mewujudkan sistem yang menjadikan kekerapan ujian COVID-19 sebagai ciri kekal dalam kehidupan harian, diikuti oleh bandar lain.
Menurut Naib Datuk Bandar, Wu Qing, daripada 9,000 tapak ujian di Shanghai, 5,000 sudah mula beroperasi.
Sebagai sebahagian strategi sifar-COVID-19 yang dinamik, penduduk bandar termasuk Beijing sudah mula berdepan kekerapan ujian dan terbiasa mempamerkan ‘kod kesihatan’ di aplikasi telefon bagi menunjukkan mereka tidak berkunjung ke kawasan berisiko tinggi.
Bagaimanapun, sistem baharu itu akan mewajibkan sesiapa saja untuk menunjukkan ujian PCR negatif sebelum memasuki tempah awam.
Stesen ujian yang terletak berdekatan kawasan perumahan, taman perindustrian, blok pejabat dan di semua pintu masuk kereta api dan stesen bawah tanah, akan membolehkan orang ramai disaring dalam hanya 15 minit.
Beijing, yang kini berdepan penularan, berkata akan turut melaksanakan ujian membiasakan dan memastikan setiap orang yang memasuki bangunan awam menunjukkan keputusan ujian negatif yang diambil dalam tujuh hari terakhir.
Bandar Hangzhou, yanterletak kira-kira 176 kilometer (km) ke barat daya Shanghai, turut berjanji membangunkan 1,000 stesen ujian tetap dan membenarkan akses ke kawasan tarikan hanya kepada mereka yang menunjukkan ujian negatif COVID-19 dalam tempoh 48 jam.
China menggandakan retorik sifar-COVID-19 dengan menyatakan strategi itu kekal sebagai kaedah paling berkesan dan berperikemanusiaan dalam menangani pandemik.
Bagaimanapun penganalisis di bank asing berbelah bahagi dengan rancangan itu.Goldman Sachs, dalam notanya, berkata kekerapan ujian boleh menawarkan jalan keluar kepada China dalam mengekalkan sifar-COVID-19 dan pada masa sama, mengurangkan impak ekonomi.
Tambahnya, kos ujian hanya sebahagian kecil daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Bagaimanapun , Nomura berkata kelebihan kekerapan ujian PCR adalah terhad, selain menambah kos antara 0.9 peratus hingga 2.3 peratus daripada KDNK, bergantung sejauh mana mandat itu dilanjutkan terhadap seluruh penduduk China.
“Sebahagian besar perbelanjaan ini akan menyekat perbelanjaan fiskal dalam bidang utama lain,” katanya.