10 MEI : Fenomena jerebu boleh berlaku dalam tempoh permulaan Monsun Barat Daya sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal, terutamanya dalam tempoh dari Ogos hingga Oktober.
Ini kerana kebanyakan kawasan di seluruh negara dijangka mengalami taburan hujan yang rendah mulai 14 Mei ini hingga pertengahan September ini.
Sehubungan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyarankan supaya pembakaran terbuka dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar serta supaya air digunakan secara lebih berhemah sepanjang tempoh ini.
Dalam satu kenyataan hari ini l, MetMalaysia berkata, semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.
“Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini. Sehubungan dengan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain,” kata MetMalaysia dalam kenyataan tersebut.
Namun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.