10 MEI: Pihak polis Australia menemui kokain dianggarkan bernilai AS$20 juta (RM87.67 juta) berhampiran mayat seorang penyelam di tebing sungai daerah New South Wales.
Menurut Polis New South Wales, mayat lelaki memakai peralatan menyelam mewah itu dijumpai berhampiran Sungai Hunter Newcastle, kira-kira 170 kilometer dari Sydney.
Detektif Superintendan, Robert Critchlow, berkata hasil siasatan lanjut mendapati beberapa bungkusan, mengandungi serbuk putih dipercayai kokain.
“Kami sedang cuba mengenal pasti sama ada kedua-dua insiden ini mempunyai kaitan. Ia mungkin ada, tetapi kami cuba berfikiran terbuka kerana terdapat pilihan di hadapan kami,” katanya.
Penyiasat menggeledah sebuah kapal dengan pendaftaran luar negara yang berlabuh berhampiran tempat kejadian pada hari ini, dan bercakap dengan anak kapal.
Dua bot kecil juga dilaporkan dilihat berhampiran kapal itu malam Ahad lalu dan pihak berkuasa meminta bantuan orang ramai untuk mengenal pasti mereka.
“Pencarian di perairan sekitar oleh penyelam akan diteruskan hari ini dengan dibantu oleh pegawai dari Pasukan Sempadan Australia,” katanya. – REUTERS