20 JULAI: Kerajaan seharusnya memberi perhatian sewajarnya terhadap masalah berkaitan pendidikan di Kelantan terutamanya sekolah daif dan kekurangan guru di kawasan pedalaman.
Ahli Parlimen BN Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berharap agar masalah tersebut diambil tindakan dengan segera kerana ia menimbulkan kerunsingan dalam kalangan masyarakat.
“Sekolah-sekolah di luar bandar masih kekurangan tenaga pengajar sedangkan terdapat lambakan guru di sekolah bandar di samping kedaifan prasarana luar bandar amat memilukan. Begitu juga keupayaan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) punya sumber kewangan di kawasan pendalaman amat terhad.
“Antara masalah lain yang dihadapi guru-guru di luar bandar mereka terpaksa mengajar subjek lain yang bukan menjadi kepakaran mereka akibat guru-guru yang tidak mencukupi untuk anak-anak di sekolah luar bandar,” katanya ketika membahaskan usul menjujung kasih titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar kerajaan memberi masa kepada golongan mahasiswa baharu untuk menangguh pembayaran yuran pengajian mereka bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat kesan pandemik COVID-19.
Ahmad Jazlan menambah, tindakan itu penting bagi wujudkan semangat positif di kalangan pelajar agar mereka tidak kecewa dan terpaksa melupakan niat untuk ke universiti disebabkan kesempitan hidup.
“Tidak dinafikan, ada sesetengah universiti memberi penekanan terhadap yuran perlu dibayar secara keseluruhan pada hari pertama pendaftaran namun sebagai kerajaan satu garis panduan perlu ditetapkan kepada pelajar yang datang keluarganya dari B40 agar di hari pertama mereka hanya dikenakan bayaran seminimum mungkin bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran.
“Dan bakinya boleh dilangsaikan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau pinjaman dari sumber lain,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH