11 MEI: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.0 peratus dalam mesyuarat MPC hari ini.
Dalam satu kenyataan, BNM memaklumkan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut meningkat masing-masing kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.
Peningkatan itu bagaimanapun tidak dijangkakan sebelum ini, apabila pakar-pakar ekonomi rata-rata mengunjurkan OPR akan kekal pada 1.75 untuk suku tahun ini.
Menurut BNM, kenaikan kadar tersebut antara lain didorong oleh pembukaan semula ekonomi global dan penambahbaikan dalam pasaran buruh yang terus menyokong pemulihan aktiviti ekonomi.
“Hal ini telah mengurangkan sebahagian daripada kesan konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.
“Dengan pertumbuhan dalam negeri yang semakin kukuh, MPC mengambil keputusan untuk mula mengurangkan tahap akomodasi monetari,” menurut kenyataan itu.
Tambah BNM, bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan yang lebih kukuh, didorong oleh permintaan dalam negeri yang lebih mantap dalam keadaan pertumbuhan eksport yang mampan.
Justeru, BNM mengunjurkan inflasi keseluruhan berpurata antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus pada tahun 2022.
“Memandangkan peningkatan kegiatan ekonomi dalam keadaan tekanan kos yang berlarutan, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras dijangka meningkat untuk mencatatkan purata antara 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2022.
“Walaubagaimanapun, tekanan harga menaik akan dibendung sebahagiannya oleh kawalan harga yang sedia ada dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.
”Jelas BNM, prospek inflasi terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global yang berpunca terutamanya daripada konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine serta gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan, di samping langkah-langkah dasar dalam negeri mengenai harga yang ditadbir.