12 MEI: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Parlimen hari ini hampir memuktamadkan semua keputusan peringkat dasar untuk pihak Jabatan Peguam Negara mendrafkan Rang Undang-Undang Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dengan sendirinya mesyuarat tersebut dilihat telah berjaya merungkai masalah dasar dan juga persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh banyak pihak.
“Daripada itu juga, jika dirujuk kepada semua saranan oleh pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 𝘤𝘪𝘷𝘪𝘭 𝘴𝘰𝘤𝘪𝘦𝘵𝘺, pakar akademik dan kepakaran lain nampaknya ada kata sepakat dalam sudut pelaksanaan dasar undang-undang ini.
“Draf yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat pada 19 Mei nanti adalah untuk memuktamadkan draf yang digubal oleh Jabatan Peguam Negara berlandaskan dasar-dasar yang diputuskan hari ini.
“Jawatankuasa ini juga berharap draf ini boleh dibentangkan mengikut jadual seperti yang telah dirancang sejak awal lagi,”katanya dalam kenyataan di Facebooknya sebentar tadi.
Mesyuarat tersebut yang dipengerusikan Wan Junaidi turut dihadiri Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas), Datuk Seri Hamzah Zainudin (BERSATU-Larut), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu), Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti), Gobind Singh Deo (PH-Puchong), Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran), Datuk Seri Saifuddin Nasution (PH-Kulim-Bandar Baharu) dan Datuk Ignatius Dorell Leiking (WARISAN-Penampang).
Beliau menambah, jawatankuasa berkenaan turut berbincang secara mendalam mengenai takwim pelaksanaan rang undang-undang tersebut hingga mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri dan pihak Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik.