1 MEI: Satu kematian jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini berbanding 2 kematian semalam menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban akibat wabak berkenaan seramai 103 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 69 kes jangkitan baru dilaporkan hari ini berbanding 57 semalam, menjadikan jumlah mangsa 6,071 orang sehingga kini.
Katanya, dalam jumlah itu, sebanyak 1,758 kes aktif dan sedang menerima rawatan.
Dalam pada itu, sebanyak 39 kes jangkitan Covid-19 pulih dan dibenarkan discaj menjadikan pesakit yang sembuh 4,210 orang sehingga kini.
Pesakit yang dirawat di ICU adalah seramai 37 orang dan 14 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.
Daripada 69 kes baru yang direkodkan hari ini, 12 kes import manakala 57 lagi adalah kes tempatan.