16 MEI: Pemilihan PKR Cabang Bayan Baru hari ini kecoh apabila dua kumpulan penyokong calon ketua Bayan Baru berebut pengundi.
Proses pengundian untuk jawatan ketua cabang di Setia Spice Arena, Bayan Baru itu menyaksikan pertembungan antara Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Difahamkan, punca kekecohan itu berlaku apabila perayu didakwa tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan yang mana mereka tidak boleh berada kurang daripada 200 meter dari pusat pengundian.
Abdul Halim ketika diminta mengulas insiden itu menyifatkan ia situasi normal untuk meraih undi dan tidak membabitkan kontak fizikal.
“Kita di sini ada pondok panas dalam jarak 200 meter dari tempat mengundi dan saya melihat proses pengundian mengikut peraturan serta dipantau Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP),” katanya.
Sementara itu, Tze Tzin melihat pemilihan semalam sebagai persaingan persahabatan sebagai meraikan demokrasi dan pihaknya sentiasa berusaha untuk melancarkan proses itu untuk kemudahan pengundi.
“Mungkin ada beberapa orang muda yang tidak tahu budaya PKR, tetapi tidak mengapa kerana saya sudah meminta Abdul Halim mengawal penyokong beliau dan semuanya selesai selepas itu.
“Memang ada peraturan yang ditetapkan dengan JPP membuat lawatan dan mereka bersetuju dengan cara ini,” katanya.
PKR mengadakan pemilihan 2022 untuk memilih barisan kepimpinan baharu sebagai persediaan parti komponen Pakatan Harapan itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan tahun hadapan.