BERSATU-PAS kekal di bawah PN
17 MEI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS masih kekal bersama di bawah Perikatan Nasional (PN).
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan BERSATU tidak akan menghalang sebarang usaha yang dilakukan PAS dalam memantapkan persediaan mereka sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Kita masih dalam PN. Tapi tidak mengapa, kita tidak menghalang mereka,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa parti itu tidak akan berputus asa untuk pertahankan hubungan dengan UMNO menerusi kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN).
Awal bulan ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan mustahil MN diteruskan jika PAS terus memperlihat sikap talam dua muka.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PN akan duduk semeja dengan parti-partinya bagi membincang langkah terbaik.
“Dahulu pun cuba untuk masuk MN tetapi ditolak walaupun tidak dijawab secara rasmi.
“Jadi ini usaha PAS, sama ada itu akan berhasil atau tidak, Wallahualam,” katanya.