18 MEI : Harga runcit petrol RON97 naik lagi sebanyak 2 sen seliter daripada RM4.31 kepada RM4.33 seliter bermula 19 Mei hingga 25 Mei ini.
Manakala harga RON95 dan diesel terus kekal pada jarga RM2.05 dan RM2.15 seliter.
Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan hari ini berkata, bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter.
“Sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua jenis minyak tersebut telah meningkat melebihi paras harga siling yang ditetapkan, kerajaan tetap mengekalkan pada paras harga siling.
“Harga runcit petrol RON97 yang ditetapkan adalah mengikut harga pasaran sebenar.
“Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.