20 MEI : Ringgit menyaksikan urus niaga lebih positif berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila ditutup mengukuh pada Jumaat susulan peningkatan sentimen selepas China bertindak menurunkan kadar faedah utama bagi merangsang ekonominya, kata penganalisis.
Pada 6 petang, ringgit berada di paras 4.3870/3910 berbanding dolar AS daripada 4.4030/4060 pada akhir urus niaga semalam.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes bagaimanapun berkata berdasarkan urus niaga semasa, pengukuhan ringgit turut membuktikan tindakan pelabur yang menarik diri daripada pendedahan dolar AS bagi tempoh lama.
“Dalam tukaran asing di Asia, sebarang langkah China bertindak mengurangkan kebimbangan ramai, akan mendatangkan kesan atau manfaat.
“Bagi saya, ringgit yang sememangnya telah dinilai rendah, akan menyaksikan aliran kenaikan berikutan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) yang sudah menaikkan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, ringgit bagaimanapun diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1845/1879 daripada 3.1752/1778 sebelum ini, rendah berbanding euro kepada 4.6445/6488 daripada 4.6223/6254 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4732/4782 daripada 5.4584/4621.
Unit tempatan itu bagaimanapun naik berbanding yen Jepun kepada 3.4236/4270 daripada 3.4495/4524, semalam.- BERNAMA