20 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak Keluarga Malaysia agar sentiasa merasa syukur dan menjadikan konflik yang berlaku di seluruh dunia sebagai iktibar.
Ismail Sabri berkata, meskipun dunia berdepan cabaran risiko geopolitik yang serius antaranya membabitkan konflik Rusia-Ukraine serta kekejaman tentera rejim Israel di Palestin misalnya, negara masih bertuah kerana terus dilimpahi nikmat keamanan, keharmonian hasil kestabilanpolitik serta kerjasama seluruh Keluarga Malaysia.
“Tatkala seluruh Keluarga Malaysia meraikan Aidilfitri dalam suasana aman dan meriah, terdapat saudara-saudara kita di negara-negara yang bergolak seperti Palestin, Syria, Afghanistan, dan Libya, yang menyambutnya dengan linangan air mata.
“Inilah peri pentingnya keamanan yang hanya dapat dikecapi dengan sikap saling hormat menghormati untuk hidup bersama sebagai sebuah keluarga yang kaya dengan pelbagai budaya dan kepercayaan.
“Konflik ini perlu dijadikan iktibar dengan sebaiknya kerana jika krisis ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, ia boleh menjejaskan keamanan di rantau terbabit dan ekonomi dunia,” tegasnya.
Beliau berkata demikian di majlis Sambutan Aidilfitri Keluarga Malaysia 2022 di Drawbridge Kuala Terengganu malam tadi.
Menyentuh lawatannya ke Amerika Syarikat baru-baru ini, Ismail Sabri berkata beliau turut membangkitkan isu Palestin dalam Sidang
Kemuncak Khas ASEAN-AS di Washington, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Dalam persidangan yang dihadiri oleh Presiden Amerika Syarikat dan lapan pemimpin negara-negara ASEAN itu, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menegaskan agar pencerobohan di Palestin dapat ditangani dengan segera.