21 MEI : Malaysia berjaya menarik pelaburan baharu bernilai RM16.52 bilion dari Amerika Syarikat (AS) melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) yang diketuai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini.
Mohamed Azmin berharap bahawa semua komitmen projek pelaburan baharu yang terbabit dapat dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini.
“Kita berharap pada suku ketiga tahun ini, kesemua komitmen ini akan dapat dimuktamadkan dan ia dapat mencipta peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan,” kata beliau dalam sidang media mengenai Hasil Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat, hari ini.
Antara projek pelaburan baharu adalah daripada syarikat Insulet, Ferrotec, Amazon Web Services Inc (AWS) dan Cue Health serta projek pengembangan pelaburan oleh Texas Instruments dan Boston Scientific.
TIM yang bermula pada 9 hingga 18 Mei lalu menumpukan pada sektor baharu yang berinovatif dan bernilai tambah tinggi khususnya industri semikonduktor, ekonomi digital dan sektor peranti perubatan selari dengan Aspirasi Pelaburan Nasional yang memfokuskan pelaburan berkualiti tinggi dan membabitkan teknologi terkini. – BERNAMA