21 JULAI: Kerajaan akan menggubal akta baharu yang dikenali sebagai Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substan 2020 bagi menggantikan Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, bagi mencapai hasrat itu, pihaknya telah menubuhkan dua jawatankuasa khas bagi memastikan keberkesanan dalam pemberian perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah dapat ditingkatkan.
Menurut beliau, keputusan tersebut akan diangkat kepada Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Teknikal yang akan dianggotai oleh KDN, Kementerian Kesihatan dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Perdana Menteri.
“Bagi Jawatankuasa Teknikal Kajian Saintifik dan Komersial akan melibatkan keanggotaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Kesihatan.
“Akta baharu ini juga akan meningkatkan akses kepada rawatan dan pemulihan dadah serta membantu kepulihan penyalahguna dadah,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang (JPU) Bilangan 1/2020 akan di bangunan Parlimen, hari ini.
Mengulas pembentangan pertimbangan kedua pada mesyuarat berkenaan, Hamzah berkata, cadangan pindaan Akta Racun 1952 akan ditangguhkan bagi memberi ruang kepada penubuhan dua jawatankuasa teknikal yang dianggotai pelbagai kementerian.
Menurutnya, mesyuarat bersetuju supaya undang-undang dan penguatkuasaan berkaitan penanaman apa-apa tumbuhan psikoaktif, termasuk kratom atau ketum perlu diperketatkan.
“Satu pendekatan yang lebih menyeluruh perlu diambil merentasi kementerian, justeru kita akan tangguhkan pindaan Akta Racun 1952.
“Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang akan dianggotai oleh Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.
“Jawatankuasa Teknikal Kajian Saintifik dan Komersial pula akan membabitkan keanggotaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Kesihatan,” katanya.
Ditanya sama ada kelulusan untuk menanam hem bagi tujuan penyelidikan industri akan ditarik balik, Hamzah berkata, rantaian proses berkaitan tumbuhan itu akan diperketatkan.
Bagaimanapun, katanya, kelulusan awal untuk menanam tumbuhan berdasarkan Seksyen 6B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu masih terpakai demi tujuan penyelidikan industri.
“Diperketatkan ini bermaksud kita nak lihat, jika apa-apa tanaman sama ada ketum, hem atau apa sahaja yang mempunyai unsur-unsur psikoaktif, mesti diberi penekanan sesuai.
“Sekiranya ingin dikomersialkan sebagai ubat, bagaimana sudut perundangan yang akan dikenakan, justeru semua ini akan diambil penekanan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH