24 MEI : Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berpandangan wabak cacar monyet yang tercetus di luar Afrika tidak memerlukan program vaksinasi besar-besaran, berikutan langkah seperti menjaga kebersihan dan tingkah laku seksual yang selamat akan membantu mengawal penularannya.
Richard Pebody, yang mengetuai pasukan patogen ancaman tinggi di WHO Eropah juga memberitahu Reuters dalam temu bual bahawa bekalan segera vaksin dan antivirus adalah agak terhad.
Langkah utama untuk mengawal wabak adalah pengesanan kontak dan pengasingan, kata Pebody, sambil menyatakan bahawa ia bukan virus yang merebak dengan sangat mudah, dan setakat ini tidak menyebabkan penyakit serius
Kenyataannya itu dibuat ketika Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) berkata ia dalam proses mengeluarkan beberapa dos vaksin Jynneos untuk digunakan dalam kes cacar monyet.
Kerajaan Jerman berkata pada Isnin bahawa ia sedang menilai pilihan untuk vaksinasi, sementara Britain menawarkannya beberapa petugas penjagaan kesihatan.
Pihak berkuasa kesihatan awam di Eropah dan Amerika Utara sedang menyiasat lebih 100 kes yang disyaki dan disahkan jangkitan virus dalam wabak virus terburuk di luar Afrika, yang mana ia adalah endemik.
Vaksin yang digunakan untuk memerangi cacar monyet boleh mempunyai beberapa kesan sampingan yang ketara, tambahnya.
Sehingga kini umum tidak jelas faktor yang mendorong wabak itu, dengan saintis cuba memahami asal usul kes dan sama ada apa-apa mengenai virus itu telah berubah.
Tiada bukti virus itu telah bermutasi, kata seorang eksekutif kanan di agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu secara berasingan pada Isnin.
Ramai tetapi tidak semua individu yang didiagnosis dalam wabak cacar monyet adalah lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki. Tetapi itu mungkin kerana demografi ini berkemungkinan mendapatkan nasihat perubatan atau mengakses pemeriksaan kesihatan seksual dengan lebih mudah, menurut WHO.
Kebanyakan kes yang disahkan tidak dikaitkan dengan perjalanan ke Afrika, yang menunjukkan mungkin terdapat sejumlah besar kes yang tidak dapat dikesan, kata Pebody.
Sesetengah pihak berkuasa kesihatan mengesyaki terdapat beberapa tahap penyebaran komuniti.
Memandangkan kepantasan wabak, dan kekurangan kejelasan mengenai perkara yang mendorongnya, terdapat kebimbangan bahawa acara besar dan pesta musim panas ini boleh memburukkan keadaan.