25 MEI: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) akan menangguhkan sementara semua urus niaga unit amanah dan perkhidmatan lain bermula 4 hingga 7 Jun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, tarikh urus niaga terakhir bagi semua unit amanah adalah pada 3 Jun ini kecuali bagi ASN Equity 5, ASN Equity Global, ASN Imbang 3 Global dan ASN Sara 2 yang berakhir lebih awal iaitu 2 Jun.
Katanya, penangguhan tersebut berikutan ASNB akan memindahkan sistem operasi ke sistem baharu sekali gus meningkatkan pengalaman pelaburan kepada para pelabur.
“Langkah strategik untuk migrasi ke sistem baharu perlu dilaksanakan bagi menyediakan sokongan teknologi yang lebih mudah dan moden supaya ASNB dapat memperkenalkan produk serta perkhidmatan terkini.
“Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan pengalaman pelaburan kepada pelabur-pelabur kami di semua saluran pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pelabur ASNB perlu merancang keperluan tunai lebih awal dan membuat transaksi pelaburan atau pengeluaran sebelum tarikh penangguhan untuk mengelakkan sebarang kesulitan ketika penangguhan ini berlangsung.
“Bagi mereka yang ingin membuat pengeluaran dalam talian, buat seawal mungkin agar wang itu dapat dikreditkan sebelum tarikh penangguhan.
“Pengeluaran secara dalam talian hanya boleh dilakukan menerusi portal www.myasnb.com.my dan aplikasi myASNB dengan had maksimum sebanyak RM2,000 atau pengeluaran tiga kali dalam sebulan.
“Urus niaga pengeluaran dalam talian yang berjaya dilaksanakan akan dikreditkan ke dalam akaun bank pelabur yang didaftarkan dengan ASNB pada hari bekerja berikutnya,” katanya.
Penangguhan urus niaga ini membabitkan semua unit amanah ASNB di semua saluran ASNB iaitu kaunter cawangan ASNB dan ejen-ejen seluruh negara, saluran elektronik dan dalam talian termasuk portal dan aplikasi myASNB, perbankan internet ejen-ejen iaitu Maybank2u, CIMB Clicks, RHBNow, Affinonline, AmOnline dan HLB Connect, mesin kiosk di cawangan ASNB serta mesin juruwang automatik (ATM) di Maybank dan CIMB Bank.
Urus niaga di semua saluran iaitu kaunter dan platform dalam talian akan dibuka semula pada 8 Jun ini.