26 MEI: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menegaskan status Nihon University yang menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu dipertikai.
Katanya dalam kenyataan hari ini, institusi itu merupakan universiti terkemuka di Jepun.
“Ijazah kehormat mempunyai nilai tersendiri yang dianugerahkan oleh universiti termasuk universiti terkemuka di dunia seperti di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia dan negara maju lain.
“Dari segi amalan, ia merupakan penganugerahan berprestij kepada seseorang tokoh terpilih atas sumbangan besar dalam bidang tertentu, misalnya ahli akademik, pakar industri, aktivitis masyarakat serta pemimpin negara termasuk dari Malaysia,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Perdana Menteri menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Perubatan daripada Nihon University sebagai mengiktiraf usaha dan sumbangannya dalam memerangi pandemik COVID-19, baru-baru ini.
Jelasnya, MQA melaksanakan proses pengesahan pengiktirafan kelayakan luar negara berasaskan status pengiktirafan negara asal bagi kelayakan yang tidak tersenarai dalam sistem mereka.
“Perkara ini seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling MQA Bil. 6/2019: Mekanisme Baharu Pengiktirafan Kelayakan Luar Negara,” katanya.
Kelmarin, Ismail Sabri menerima anugerah berkenaan daripada Presiden Nihon University, Dr Naoto Kato di universiti tersebut di bandar raya Itabashi, satu daripada pusat bandar yang terletak dalam metropolis Tokyo ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun selama enam hari.