27 MEI: Pengusaha pusat jagaan kanak-kanak, taska dan tadika diminta terus mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengekang penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah mengedarkan garis panduan berhubung penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD) daripada KKM kepada pengusaha pusat berkenaan untuk rujukan.
“Saya memandang serius peningkatan jangkitan HFMD ini terutama di bawah taska yang berdaftar di bawah Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.
“Garis panduan HFMD yang diedarkan perlu dipatuhi, bukan saja untuk mengekang penyakit HMFD tetapi juga penularan penyakit berjangkit lain,” katanya selepas meninjau pengoperasian Taska Penyayang Bakti di Putrajaya, hari ini.
Rina berkata, ibu bapa perlu mengambil berat isu penyakit berkenaan dan melakukan langkah pencegahan serta memastikan anak mereka yang mempunyai gejala awal seperti demam, ulser dan ruam di tangan serta kaki dibawa ke klinik atau hospital untuk rawatan.
Katanya, pengusaha taska juga boleh menjalankan aktiviti sanitasi secara lebih kerap dan konsisten, selain pemeriksaan anak asuhan serta mengutamakan aspek kebersihan di taska dan tadika.
“Kementerian akan terus memantau isu ini dan berharapsemua taska dapat mematuhi SOP yang ditetapkan KKM bagi menjamin keselamatan dan kesihatan anak-anak.
“Selain itu, ibu bapa yang mendapati anak mereka mempunyai simptom juga perlu bertindak mengasingkan anak berkenaan supaya tidak menjangkiti anak lain,” katanya.