27 MEI : Aktiviti belian saat-saat akhir bagi saham-saham wajaran tinggi terpilih yang didahului oleh kaunter penjagaan kesihatan serta produk dan perkhidmatan perindustrian, berupaya memacu Bursa Malaysia daripada kerugian awal dan ditutup pada paras harian tertinggi, seiring dengan sentimen bursa serantau yang memberangsangkan, kata peniaga.
IHH Healthcare dan Petronas Chemicals muncul antara kaunter paling untung, masing-masing meraih 11 sen kepada RM6.60 dan RM9.98 selain menyumbang sejumlah 3.2 mata kepada peningkatan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama itu naik 5.61 mata atau 0.36 peratus kepada 1,546.76 daripada 1,541.15 pada akhir dagangan Khamis, selepas mencecah paras terendah 1,531.56 dalam sesi dagangan hari ini.
Malah, indeks penanda aras itu yang dibuka susut 0.45 mata kepada 1,540.70, kekal dalam wilayah negatif dalam sebahagian besar tempoh dagangan hari ini.
Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 535 berbanding 400 manakala 411 lain tidak berubah, 964 tidak diniagakan dan 40 kaunter lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan susut kepada 2.78 bilion unit bernilai RM2.01 bilion daripada 2.89 bilion unit bernilai RM1.92 bilion semalam.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pasaran serantau utama mengakhiri dagangan dalam wilayah positif susulan isyarat semalaman Wall Street yang lebih baik dengan minat belian membabitkan terutama saham-saham teknologi serta tenaga.
“Pelabur juga terus membeli saham-saham yang berharga rendah susulan penurunan baru-baru ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura menokok 0.60 peratus kepada 3,228.33, Nikkei 225 Jepun meningkat 0.66 peratus kepada 26,781.68, Hang Seng Hong Kong naik 2.89 peratus kepada 20,697.36, KOSPI Korea Selatan meraih 0.98 peratus kepada 2,638.05 manakala dan Indeks Komposit SSE China meningkat 0.23 peratus kepada 3,130.24.
Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Maybank menokok 1.0 sen kepada RM8.99, Public Bank dan Hong Leong Bank masing-masing menambah 2.0 sen kepada RM4.62 dan RM21 manakala Tenaga Nasional dan CIMB masing-masing naik 4.0 sen kepada RM9.25 dan RM5.05.
Bagi saham aktif, Cnergenz merosot 5.0 sen kepada 62.5 sen, Ta Win susut 1.0 sen kepada 11.5 sen, DNeX berkurangan 3.0 sen kepada RM1.01 manakala Sapura Energy menokok setengah sen kepada 8.0 sen.
Selain itu di papan indeks, FBM ACE merosot 59.28 mata kepada 5,146.70, Indeks FBM Emas Syariah menokok 38.07 mata kepada 11,391.89, Indeks FBM Emas naik 26.58 mata kepada 11,011.12, Indeks FBMT 100 meraih 31.87 mata kepada 10,707.68 dan FBM 70 meningkat 10.56 mata kepada 13,098.56.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.07 mata kepada 199.41, Indeks Perladangan meningkat 21.03 mata kepada 8,009.72 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 54.50 mata kepada 16,644.41.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.79 bilion saham bernilai RM1.71 bilion daripada 1.86 bilion saham bernilai RM1.72 bilion pada Khamis.
Dalam pada itu, jumlah waran meningkat kepada 567.80 juta unit bernilai RM111.38 juta berbanding 379.61 juta unit bernilai RM74.24 juta sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 424.50 juta saham bernilai RM1879.64 juta daripada 649.14 juta saham bernilai RM181.37 juta, semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 221.82 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (486.15 juta), pembinaan (58.16 juta), teknologi (197.61 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (45.17 juta), hartanah (133.64 juta), perladangan (40.44 juta), REIT (4.88 juta), dana tertutup (25,700), tenaga (383.89 juta), penjagaan kesihatan (53.76 juta), telekomunikasi dan media (85.11 juta), pengangkutan dan logistik (35.51 juta) serta utiliti (40.44 juta).-BERNAMA