29 MEI : Kementerian Kesihatan Singapura, negara itu tidak harus terkejut jika virus cacar monyet dikesan di sini dalam minggu mendatang.
Menterinya, Ong Ye Kung, berkata, perkara itu sukar dielakkan bagi negara seperti Singapura.
“Dalam minggu-minggu mendatang, kita tidak harus terkejut jika cacar monyet ini dikesan di sini kerana penduduk kita mengembara secara meluas dan kita pula adalah hab komersial antarabangsa.
“Mujurlah, kita sudah memperkenalkan beberapa protokol dan langkah kesihatan awam yang perlu sebelum ini, menyusuli tercetusnya kes import pada 2019,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Ye Kung memberi jaminan kepada orang awam bahawa cacar monyet ini tidak mungkin menjadi pandemik seperti COVID-19.
“Ini kerana lazimnya, ia berjangkit menerusi kontak fizikal yang rapat dan tidak tersebar menerusi udara seperti coronavirus.
“Sebagai contoh, jika anda sangat rapat dengan seseorang yang mempunyai luka ruam kerana cacar monyet, anda boleh dikesan,” katanya sambil menjelaskan lebih lanjut mengenai tempoh inkubasi serta tanda penyakit itu yang biasa dialami.
Ye Kung menasihati orang ramai bertemu doktor segera jika mendapati ruam yang payah diperjelaskan meskipun mereka tidak pernah mengembara ke mana-mana baru-baru ini, bagi memastikan mereka dapat dikesan awal dan menerima rawatan segera.
Beliau juga menasihati orang ramai mengelakkan daripada berhubung rapat dengan individu yang tidak sihat dan demam atau mempunyai ruam seperti cacar.
Menurutnya lagi, baik untuk mengekalkan mutu kebersihan peribadi yang tinggi setiap masa, termasuk membasuh tangan dengan sabun sebelum menyentuh muka.