Indonesia, Singapura terus catat jumlah tinggi
21 JULAI: Ketika kebimbangan di negara ini meningkat apabila kes baru COVID-19 kembali mencatatkan dua angka kebelakangan ini, Indonesia dan Singapura pula melaporkan jumlah yang lebih tinggi dengan masing-masing mencatatkan 1,655 dan 399 kes baru wabak itu hari ini.
Berikutan itu, kes COVID-19 di Indonesia kini meningkat kepada 89,869 kes yang mencetuskan kerisauan dalam kalangan pakar kesihatan awam berikutan tahap kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang rendah dalam kalangan rakyat.
Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata, dalam tempoh 24 jam lalu, 81 lagi kematian dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak itu di Indonesia kini berjumlah 4,320 orang.
“Sebanyak 44,003 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19,” katanya pada sidang media hariannya.
Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,461 orang, diikuti Jakarta (748), Jawa Tengah (374), Sulawesi Selatan (284) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.
Sementara itu, Singapura merekodkan 399 jangkitan baharu COVID-19 dengan sebahagian besar membabitkan pekerja asing yang tinggal di asrama.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan republik itu, sembilan daripadanya adalah kes penularan dalam komuniti membabitkan satu warga tempatan dan lapan pemegang pas kerja.
Selain itu, tiga kes import turut dilaporkan dengan kesemua yang terbabit telah diletakkan di bawah kuarantin di rumah.
Jumlah kumulatif kes COVID-19 di republik itu kini meningkat kepada 48,434 kes.
Setakat tengah hari semalam, masih terdapat 183 kes yang disahkan dirawat di hospital dengan kebanyakannya dalam keadaan stabil dan tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.
Seramai 27 maut akibat COVID-19 di Singapura setakat ini.