31 MEI: Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) menyokong larangan terhadap import minyak dari Russia selepas menghabiskan masa berminggu-minggu membincangkan perkara tersebut.
Kejayaan itu dicapai apabila mendapat persetujuan Hungary yang sebelum ini Perdana Menteri, Viktor Orban menentang tindakan itu yang dianggap sebagai hukuman terhadap Moscow kerana mencetuskan perang di Ukraine.
Pemimpin kesatuan yang dianggotai 27 negara yang bermesyuarat sempena Sidang Kemuncak Khas mengenai Ukraine di Brussel, bagaimanapun mencapai kesepakatan perjanjian untuk mengecualikan penghantaran bahan api menerusi saluran paip.
“Persetujuan dicapai untuk melarang eksport minyak Russia ke EU. Ini serta-merta meliputi lebih dua pertiga daripada import minyak Russia sekali gus mengurangkan sumber besar pembiayaan untuk mesin perangnya,” kata Ketua Majlis Eropah, Charles Michel menerusi Twitter semasa sidang kemuncak itu.
“Tekanan maksimum ke atas Russia untuk menghentikan perang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen, berkata langkah itu akan mengurangkan secara efektif kira-kira 90 peratus import minyak dari Russia ke negara EU menjelang akhir tahun ini.
Perdebatan mengenai enam pakej sekatan ekonomi terhadap Russia juga dikatakan menjejaskan perpaduan kesatuan itu dalam menghadapi serangan Kremlin ke atas Ukraine.
Michel berkata, pakej sekatan itu turut merangkumi menghentikan hubungan dengan bank terbesar Russia, Sberbank dari sistem SWIFT global, melarang tiga penyiar negara itu dan menyenaraihitamkan individu yang dipersalah atas jenayah perang. – AFP