31 MEI : Polis menahan seorang pemain bola sepak liga tanah air bagi membantu siasatan kes rogol yang membabitkan seorang remaja perempuan.
Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menerusi satu kenyataan, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, malam Ahad lalu selepas menerima laporan yang dibuat oleh mangsa yang berusia 18 tahun.
Dalam laporan yang dibuat, mangsa yang juga seorang jurujual kain dan tudung berada di rumahnya di Kampung Kijang, Jalan PCB, keluar dari biliknya untuk membuang sampah pada jam 12.30 tengah hari Ahad lalu.
“Mangsa mendakwa didatangi suspek yang tiba-tiba menolaknya dari belakang sebelum mengheretnya ke katil dalam bilik tidur.
“Mangsa cuba melawan dan menjerit namun tiada ahli keluarga di rumah ketika kejadian dan remaja perempuan itu mendakwa dia dirogol tanpa kerelaan,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan hasil pemeriksaan mengesahkan terdapat satu kesan koyakan baharu.
Kata Muhamad Zaki lagi, hasil siasatan dan temu bual yang dijalankan, mangsa mengenali suspek yang juga pelanggan tetap di kedai makan milik emaknya.
Mangsa juga mendakwa pernah menerima mesej menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ yang berbaur lucah serta gambar lucah daripada suspek tahun lalu ketika masih bersekolah.
“Suspek ditahan pada hari sama di Kampung Kijang, Jalan PCB dan semakan yang dibuat mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.
“Polis turut merampas baju dan seluar yang digunakan oleh suspek ketika jenayah dilakukan,” katanya.
Suspek direman empat hari bermula semalam sehingga 2 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK).