2 JUN: Kemeriahan sambutan Hari Gawai di Rumah Panjang Ekaw, Kapit berubah sedih apabila dua penghuninya iaitu kanak-kanak yang hilang dihanyutkan arus deras di tebing Sungai Semawang, Selasa lalu, ditemukan lemas, hari ini.
Mayat mangsa pertama, Damien Dashlley Sedan Donny, kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemui hanyut berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Embuau.
Mayat mangsa kedua, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, Chelsea Charity Darrie Ricky, pula ditemui di kawasan Song.
Kedua-dua mangsa dilaporkan hilang dibawa arus deras ketika mandi di tepi sungai berkenaan bersama beberapa ahli keluarga mereka.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kedua-dua mangsa ditemui oleh orang awam kira-kira jam 7.15 pagi.
Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 5.42 petang, Selasa lalu.
Mereka dikatakan tiba-tiba hanyut dan hilang dibawa arus deras kira-kira jam 5 petang.