3 JUN: Keadaan banjir Gurun makin buruk apabila bilangan mangsa banjir berpindah ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat kepada 910 mangsa daripada 219 keluarga pagi ini.
Semua mereka dipindahkan ke dua PPS iaitu Surau Kampung Sungai Bongkok iaitu 291 mangsa daripada 70 keluarga, dan di Masjid Pekan Gurun iaitu seramai 619 mangsa daripada 149 keluarga
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azhar Ahmad berkata, jumlah keseluruhan mangsa itu membabitkan 11 kampung dan tiga taman perumahan di kawasan itu.
Beliau berkata, antara kawasan terbabit adalah Kampung Sungai Ibor, Kampung Jelatang, Kampung Batu 5, Kampung Sungai Badak, Kampung Sungai Bongkok, Kampung Guar Nenas, Kampung Kepala Bukit dan Kampung Batu 21.
“Selain itu, Kampung Masjid Lama Pekan Atap, Kampung Pulau Cengal, Taman Gurun Jaya, Taman Gurun Indah dan Taman Sri Jerai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kejadian jam 4.23 pagi semalam, paras air Sungai Bongkok meningkat berikutan hujan lebat yang melanda kawasan itu hampir tiga jam.
Berikutan itu, beberapa kawasan di situ ditenggelami air setinggi 0.3 meter (m) hingga 0.9 m menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke dua PPS yang dibuka semalam.