3 JUN : Nasib penulis skrip terkenal, Mazelan Manan yang menderita penyakit kanser hidung dan paru-paru lebih dua tahun lalu, mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ismail Sabri yang diwakili oleh
Setiausaha Akhbarnya, Asyraf Afnan Ahmad Murtadza dan Pegawai Khas Media Muhammad Akmal Fitri Suhaimi, melawat Mazelan, 58, di rumahnya di Taman Perdana Jaya, Serada di sini.
Turut serta dalam lawatan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Nordina Haron; Pengarah Zon Timur YKN, Zahimi Mohamad, serta pelakon dan pengacara, Zoey Rahman.
Mazelan yang ditemani isterinya, Siti Hawa Ibrahim, 56, tidak dapat menahan perasaan sebak sebaik Asyraf Afnan dan Nordina menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan harian.
Mazelan atau nama sebenarnya Mazlan Abdul Manan disahkan menghidap penyakit kanser hidung pada Mac 2020, sebelum ia merebak ke paru-paru.
Anak lelakinya, Muhammad Najmie Maziez Mazlan, 30, berkata susulan penyakit itu, ayahnya sudah menjalani lebih 35 kali rawatan radioterapi dan dua pusingan rawatan kimoterapi.
“Saya mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan YKN, kerana prihatin dengan nasib ayah,” katanya.
Mazelan adalah bekas Pengarang Urusan Kumpulan Media Karangkraf sebelum aktif menulis skrip drama televisyen sepenuh masa, selain turut menjadi tenaga pengajar penulisan skrip di FINAS.
Sehingga kini, beliau menghasilkan ratusan skrip telemovie dan drama rantaian untuk televisyen seperti RTM, TV3, TV9, Astro serta TV Alhijrah, yang mendapat tempat di hati penonton selain memenangi pelbagai anugerah.
Antaranya, karya popularnya drama Lebih Bisa dari Jelatang yang memenangi anugerah Lakon TV Terbaik Anugerah Skrin 2006, Mawar Putih Tanda Perpisahan (Lakon TV Terbaik Anugerah Skrin 2013), Masihkah Ada Ramadan dan Menunggu Hujan Teduh.– BERNAMA