5 JUN: Komitmen dan kerjasama serantau serta antarabangsa diperlukan bagi menangani pelbagai cabaran akibat perubahan iklim yang dihadapi ketika ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia komited memenuhi visi mencapai tahap sifar karbon menjelang 2050, termasuk menggubal undang-undang berkaitan perubahan iklim, sebagaimana dinyatakan pada Persidangan Nikkei di Jepun, baru-baru ini.
Justeru, katanya, Malaysia akan bekerjasama dengan negara Asia yang berkongsi visi ‘Asia Zero Emission Community’, selari komitmen negara ketika Persidangan Perubahan Iklim 21 di Paris, Perancis, pada 2015.
Beliau berkata, ia bertujuan membendung pemanasan global dengan mengekalkan purata peningkatan suhu global abad ini di bawah dua darjah Celcius.
“Bagi menyokong visi dan komitmen alam sekitar itu, Malaysia juga meletakkan sasaran jangka panjang. Antaranya, kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu sebanyak 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.
“Selain itu, mengekalkan sekurang-kurang 50 peratus liputan hutan negara serta melaksanakan kaedah ‘natural-based solution’ seperti menanam 100 juta pokok dan meningkatkan kadar kitaran semula kepada 40 peratus menjelang 2025,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Alam Sekitar Sedunia, di sini, hari ini.
Ismail Sabri juga mahu Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) segera membentangkan perkembangan terkini penggubalan akta berkaitan alam sekitar, pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.
Katanya, ini kerana Malaysia sudah sekian lama membincangkan perihal penggubalan akta berkaitan alam sekitar, namun pihaknya belum menerima sebarang maklum balas terperinci mengenainya.
“Saya akan tekankan supaya undang-undang alam sekitar ini perlu disegerakan pada mesyuarat Kabinet Rabu ini, kerana kita tahu banyak pencerobohan dan sebagainya yang berlaku.
“Di sini (Taman Tugu Negara) contohnya, difahamkan adalah tempat pembuangan sampah haram. Sepatutnya kawasan hutan hujan ini dijaga dengan baik, tetapi dijadikan tempat pembuangan sampah,” katanya.
Perdana Menteri menambah, menerusi Strategi Rancangan Malaysia ke-12, negara disasarkan mencapai ‘Negara Sifar Karbon’ menerusi pembangunan di sektor tenaga, pengangkutan, industri pemprosesan dan penggunaan produk, pengurusan sisa, pertanian, dan penebusan semula guna.
Jelasnya, usaha itu juga diselaraskan dengan Pelan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia ke arah menjadikan Malaysia Lestari 2030 yang berteraskan pengukuhan tadbir urus pertumbuhan hijau, kolaborasi strategik dan keterangkuman sosial.
“Dari sudut ekonomi pula, Bursa Malaysia di bawah Bajet 2022 akan mewujudkan Voluntary Carbon Market pada tahun ini; dan pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan elektrik juga disediakan bagi merancakkan agenda ekonomi hijau di Malaysia.
“Selain itu, agenda hijau juga perlu disemai di peringkat pentadbiran kerajaan tempatan dengan mencontohi DBKL yang mengumumkan aspirasi Kuala Lumpur sebagai bandar raya Net Zero Carbon menjelang tahun 2050,” katanya.