7 JUN : Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berpotensi menjana lebih RM100 juta peluang pelaburan dalam sektor teknologi digital melalui Misi Perniagaan ke Indonesia baru-baru ini.
Misi Perniagaan itu, yang kali pertama dilaksanakan sejak sempadan antarabangsa dibuka semula pada Mac 2022, adalah kelangsungan daripada program Gateway, Amplify, Investor, Nurture (GAIN) di bawah MDEC.
Ia bertujuan memacu syarikat teknologi tempatan ke peringkat global.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, berkata Misi Perniagaan itu membolehkan MDEC, syarikat teknologi Malaysia dan agensi lain melakukan tindakan susulan berhubung peluang yang ditawarkan sebelum penutupan sempadan akibat pandemik COVID-19.
“Indonesia adalah antara rakan teknologi strategik utama Malaysia berikutan ekonomi digitalnya yang berkembang pesat dan berinovatif.
“Justeru, menerusi misi ini kami dapat meneroka potensi projek bersama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara serta ASEAN secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sejak 2018, MDEC telah melaksanakan tujuh Misi Perniagaan (tiga adalah Misi Pemacuan Eksport dan empat di bawah program GAIN Connex) dan berjaya menghubungkan lebih 40 syarikat teknologi Malaysia kepada rakan kongsi di Indonesia dengan jumlah peluang eksport digital bernilai lebih RM370 juta.
Namun, berikutan sekatan perjalanan disebabkan pandemik COVID-19, program pada tahun 2020 hingga 2021 telah dianjurkan secara dalam talian.-BERNAMA