10 JUN : Kerajaan telah bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah, demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurut Wan Junaidi menerusi satu kenyataan hari ini, keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada Mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin.
Beliau berkata, kerajaan juga secara prinsipnya menerima serta mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian itu.
“Jemaah Menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), serta 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.
“Kajian lanjut ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain kementerian dan jabatan berkepentingan,” katanya.
Tambah Wan Junaidi, tindakan ini amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta yang berkaitan mengambil kira prinsip ‘proportionality’ serta keperlembagaan (constitutionality) mana-mana cadangan kepada kerajaan nanti.
Kerajaan juga menurutnya lagi, akan turut mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah (Criminal Justice System) di negara ini, antaranya seperti pewujudan prosedur pra penghukuman, penubuhan Majlis Penghukuman, pembangunan Garis Panduan Penghukuman, penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang dan pembaharuan institusi kepenjaraan dan pelaksanaan hukuman.
“Keputusan berkaitan perkara ini menunjukkan keutamaan Kerajaan untuk memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara iin dalam menambahbaik sistem keadilanjenayah negara yang serba dinamik,” ujarnya.