11 JUN: Empat maut manakala seorang parah dalam kemalangan dua kenderaan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dari arah Subang ke Kelana Jaya, pagi tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya yang menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 4.11 pagi segera ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.
“Siasatan mendapati, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah Proton Wira Aeroback yang berlanggar dengan Proton Wira Sedan.
“Lima mangsa terbabit dalam kemalangan itu, empat mangsa iaitu dua wanita dan dua lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa kelima iaitu seorang lelaki diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa yang maut ialah Puvaaneshwaran Paranjhoti, 28, yang menaiki Wira Aeroback manakala Lai Mun Fai, 28; Eng Siew Hooi, 31; Leong Man Yuen, 27, menaiki kereta Wira Sedan.
Heng Chan Yee, 28, yang turut menaiki Wira Sedan dibawa ke Hospital Sungai Buloh berikutan kecederaan parah dialaminya dalam kemalangan itu.