11 JUN: Malaysia tewas 1-2 kepada Bahrain dan menempah laluan sukar untuk ke Piala Asia 2023.
Keputusan itu diperoleh pada aksi kedua Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Kekalahan di tangan pasukan ranking ke-89 dunia itu menyaksikan skuad Harimau Malaya terpaksa melepaskan status juara Kumpulan E ke tangan Bahrain yang mengutip enam mata maksimum daripada dua perlawanan.
Stadium Nasional Bukit Jalil bagaikan mahu runtuh pada minit ke-55 apabila hantaran silang Ahmad Khuzaimi Piee daripada sebelah sayap kiri disudahkan Mohamadou Sumareh untuk gol pembukaan skuad Harimau Malaya.
Bagaimanapun, ‘kedudukan 1-0 hanya bertahan dua minit apabila Ali Haram mengikat kedudukan buat Bahrain untuk gol kedua peribadinya pada kempen kelayakan kali ini.
Kesilapan Farizal yang menerjah pemain Bahrain pada minit ke-80 mengundang padah apabila Bahrain dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Abdulla Yusuf Helal untuk gol kemenangan Bahrain.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut meluangkan masa bagi memberi sokongan moral kepada skuad negara.