12 JUN : Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengulangi gesaannya terhadap Amerika Syarikat (AS) supaya mengeluarkan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) daripada senarai entiti pengganas negara itu.
Abbas juga meminta pejabat PLO di Washington dan Konsulat Amerika di timur Baitulmaqdis dibuka semula, selepas kedua-duanya ditutup di bawah pentadbiran bekas Presiden Donald Trump,
Perkara itu disampaikan Abbas ketika menyambut delegasi AS yang diketuai oleh Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Timur, Barbara Leaf, menjelang lawatan Presiden Joe Biden bulan depan.
Menurut kenyataan pejabat Presiden Palestin itu, Leaf yang memulakan lawatan tiga hari ke wilayah Palestin dan Israel turut bertemu Abbas bagi membincangkan hubungan AS-Palestin, bantuan AS kepada Palestin, mengeratkan hubungan dan bagaimana rakyat Palestin dan Israel sama-sama berhak mendapat ukuran kebebasan, keselamatan & kemakmuran.
Biden sebelum ini berjanji untuk membuka semula pejabat konsulat yang ditutup di bawah pentadbiran Trump selepas mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, menimbulkan kemarahan rakyat Palestin yang melihat sektor timurnya sebagai ibu kota masa depan mereka.
Israel yang menentang pembukaan pejabat Konsulat Palestin di Baitulmaqdis juga berkata AS sepatutnya membuka pejabat diplomatik di Ramallah, yang menjadi pusat pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin di Tebing Barat.
Sementara itu, AS menukar gelaran Unit Hal Ehwal Palestin kepada Pejabat Hal Ehwal Palestin (OPA), tanpa mentakrifkannya sebagai konsulat.
Pejabat itu ‘beroperasi di bawah naungan Kedutaan AS di Baitulmaqdis, dan melaporkan perkara substantif terus kepada Jabatan Negara, kata OPA, sambil menyatakan penstrukturan baharu itu untuk mengukuhkan pelaporan diplomatik dan pembabitan diplomasi awam kami.
Langkah berkenaan dilakukan menjelang kemungkinan lawatan Biden ke Asia Barat termasuk ke Arab Saudi, Israel dan wilayah Palestin bulan depan.