16 JUN : Tindakan beberapa pengasas produk kecantikan serta selebriti terkenal yang memuat naik kandungan berunsur sumbang dan jelik di laman aplikasi Instagram dan Tik Tok dipandang serius Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Difahamkan, siasatan telah pun dibuat merujuk kepada aksi tepuk punggung membabitkan tiga selebriti dan usahawan.
Ia berikutan aduan daripada orang ramai berhubung tindakan individu berkenaan, SKMM dengan kerjasama polis akan menjalankan pemeriksaan bagi tujuan siasatan terhadap ketiga-tiga individu terbabit di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, semalam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
“Sehubungan itu, orang ramai khususnya selebriti yang mempunyai pengaruh di dalam masyarakat seharusnya menunjukkan teladan yang baik dan peka untuk tidak memuat naik kandungan yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya dalam kenyataan tersebut.