22 JUN : Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan negara itu merekodkan kes import cacar monyet selepas pertama kali dikesan pada 2019, melibatkan lelaki warga Britain berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pramugara dan berada di Singapura antara Rabu dan Jumaat lalu (15 dan 17 Jun).
Mangsa sekali lagi berada di Singapura pada Ahad lalu ketika penerbangan yang dinaikinya memasuki dan keluar dari negara itu, kata Kementerian Kesihatan Singapura malam tadi.
Dia memperoleh keputusan ujian positif cacar monyet pada Isnin lalu dan kini sedang dirawat di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).
Seramai 13 kontak rapat dikenal pasti setakat semalam. Kesemua mereka ditempatkan di pusat kuarantin selama 21 hari sejak hari terakhir mereka berhubung dengan pesakit dan dua kontak berisiko rendah diletakkan dalam pengawasan menerusi telefon, kata kementerian itu.
Ia adalah jangkitan cacar monyet import pertama yang dikesan di Singapura sejak 2019, apabila seorang lelaki Nigeria disahkan positif.
Sementara itu, Korea Selatan hari ini melaporkan dua kes pertama disyaki virus cacar monyet di negara itu, sambil memaklumkan ujian diagnostik sedang dijalankan dan pihak berkuasa kesihatan akan mengadakan taklimat sebaik ujian selesai.
Salah seorang yang disyaki dijangkiti adalah warga asing yang dilaporkan menunjukkan gejala sejak Ahad lalu, memasuki negara itu pada Isnin lalu dan kini sedang dirawat di wad pengasingan di sebuah hospital di bandar Busan.
Seorang lagi mangsa warga Korea, menunjukkan simptom ketika memasuki negara itu dari Jerman pada petang semalam dan kini dirawat di Pusat Perubatan Incheon.
“Ujian diagnostik dan siasatan epidemiologi ke atas cacar monyet sedang dijalankan dan pihak berkuasa kesihatan akan segera mengadakan taklimat mengenai langkah susulan,” kata Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea Selatan (KDCA) dalam satu kenyataan.