22 JUN : Kerajaan akan memberikan bantuan tunai tambahan melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada golongan B40 sebanyak RM100 untuk golongan isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini.
“Bantuan tunai tambahan ini akan diberikan kepada Keluarga Malaysia yang terkesan akibat cabaran kos sara hidup apabila Kerajaan tidak lagi memberikan subsidi harga ayam, telur dan kenaikan harga barang makanan yang lain.
“Setakat ini, seramai 8.6 juta penerima BKM telah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500 pada tahun 2022.
“Bantuan ini merupakan yang tertinggi setakat ini yang pernah diberikan oleh mana-mana Kerajaan,” tegas Perdana Menteri.
Ismail Sabri berkata demikian dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.
Katanya lagi, bayaran bantuan tunai tambahan yang dibayar bersekali dengan bayaran Fasa 2 BKM melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta.
“Bayaran ini akan memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang;
“Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun 2022 (Isnin) melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM1.74 bilion.
“Setiap penerima BKM bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing,” ujarnya.
Kata Perdana Menteri, diharapkan pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan golongan B40 terutamanya dalam menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
“Kerajaan sentiasa cakna dengan keperluan semasa terutamanya melibatkan kenaikan harga barangan keperluan dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar,” katanya.
Orang ramai boleh membuat semakan status pembayaran boleh dibuat bermula 27 Jun 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.