24 JUN: Malaysia mencadangkan tiga perkara dalam memastikan tiada negara ketinggalan dalam Pembangunan Global, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, cadangan tersebut menyentuh mengenai pengukuhan arkitektur pembangunan antarabangsa, pengukuhan sistem pelbagai hala dan merealisasikan komitmen untuk menangani krisis alam sekitar dan iklim.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, cadangan berkenaan dinyatakan Perdana Menteri yang menyertai pemimpin Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan dan 12 Ketua Negara/Kerajaan lain di Dialog Peringkat Tertinggi Mengenai Pembangunan Global di China.
Katanya, berformatkan BRICS Plus, dialog tersebut telah berlangsung di sela-sela Sidang Kemuncak BRICS ke-14 yang dipengerusikan oleh Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping.
“Di bawah tema Memupuk Perkongsian Pembangunan Global untuk Era Baharu dalam Melaksanakan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan secara Bersama, para pemimpin membincangkan kepentingan perpaduan di peringkat antarabangsa.
“Ia merangkumi kerjasama yang berkesan dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) termasuk menggalakkan pemulihan global, pembaharuan tadbir urus global dan perkongsian pembangunan global yang inklusif.
“Ismail Sabri menegaskan komitmen Malaysia yang tidak berbelah-bahagi bagi mencapai Agenda Pembangunan Mampan, yang telah termaktub di dalam pelbagai dasar kerajaan termasuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” kata kenyataan itu lagi.
Perdana Menteri diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar, Duta Khas Perdana Menteri ke Republik China, Datuk Seri Tiong King Sing, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Dalam pertemuan itu, katanya Perdana Menteri turut menekankan usaha Malaysia untuk melaksanakan Agenda Pembangunan Mampan di peringkat tempatan merangkumi penubuhan Kumpulan Rentas Parlimen Malaysia Mengenai Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) dan Yayasan MySDG.
Selain itu, tambahnya, menggalakkan lebih banyak pelaburan berasaskan pembangunan mampan dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan hijau dan penciptaan pasaran baharu.
“Penyertaan Perdana Menteri di Dialog Peringkat Tinggi mengenai Pembangunan Global ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam melaksanakan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan, dan menggalakkan kerjasama antarabangsa yang berkesan untuk membantu negara membangun lain dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan,” katanya.